PETALING JAYA – FedEx Malaysia berganding bahu Treat Every Environment Special (TrEES) untuk menangani isu keterjaminan makanan melalui program kebun komuniti.
Program yang memasuki tahun kedua itu membekalkan sayur-sayuran segar kepada komuniti yang memerlukan selain meningkatkan nutrisi serta mengurangkan kos makanan.
Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long berkata, inisiatif itu dimulakan dengan penubuhan kebun sayur yang diuruskan oleh TrEES dengan sokongan sukarelawan FedEx.
Malah katanya, kebun sayur itu mampu menghasilkan kira-kira 700 hidangan setiap bulan kepada rumah kebajikan dan golongan berpendapatan rendah.
“Rumah kebajikan seperti Pusat Jagaan Ros Biru di Klang memaklumkan program ini menyaksikan pengurangan 20 peratus dalam kos perbelanjaan runcit dan membolehkan mereka menyalurkan sumber itu kepada komuniti yang lebih memerlukan dan kritikal.
“Di FedEx, matlamat utama kami adalah mencapai perubahan yang bermakna. Kami berharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan mengalakkan gaya hidup sihat bagi komuniti yang memerlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, insiatif itu juga mampu memperkasakan komuniti yang kurang bernasib baik dan menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.
“Kebun sayur komuniti TrEES telah membawa kesan positif kepada individu dan masyarakat secara keseluruhan. Dengan menyediakan sayur-sayuran segar sepanjang tahun, inisiatif ini berjaya mengurangkan isu keterjaminan makanan dan meningkatkan sumber makanan yang berkualiti.
“Para penerima melalui program juga berkongsi bagaimana sokongan ini membantu mereka mengharungi saat-saat sukar dan memberikan mereka harapan dan kestabilan.,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE