KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita dua buah kenderaan mewah iaitu Honda NA1 (NSX) dan Lexus RC300 F-Sport yang dibawa masuk ke negeri ini menggunakan nombor pendaftaran kereta lain.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, dua kenderaan itu dianggarkan bernilai RM354,574.15, manakala nilai duti dan cukai adalah RM562,000.57.
Menurut beliau pada 5 Disember lalu, pegawai Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching bertindak atas maklumat yang diterima daripada Zon Risik JKDM Sarawak telah menahan dua buah kereta itu yang diikrar menggunakan Borang Kastam 3 di Pelabuhan Pending untuk tujuan pemeriksaan.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu, pasukan serbuan mendapati maklumat kenderaan yang diikrar dalam Borang Kastam 3 adalah betul berpandukan salinan Sijil Pemilikan Kenderaan.
“Setelah dirujuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) casis kereta tersebut berbeza dengan cabutan maklumat kenderaan daripada jabatan tersebut. Kenderaan itu disyaki barangan tidak berkastam kerana dibawa masuk menggunakan saluran tidak betul,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE