PUTRAJAYA – “Saya akan bayar (kompaun), harap taklah banyak sangat,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Itu reaksi Mohamad susulan isu tular memaparkan dirinya merokok di kawasan larangan bersama sekumpulan individu di sebuah kedai makan di Rantau, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurutnya, beliau mengesahkan telah menerima notis kesalahan itu yang diserahkan pegawai kesihatan Seremban pagi tadi.
“Saya tak dapat balik ke Seremban, jadi pegawai itu datang menemui saya di sini (Putrajaya) sebab esok saya nak ke Bangkok, Thailand.
“Saya menerima notis kompaun tersebut dan notis kompaun ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk ditetapkan jumlah kompaun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Kepada Palestin di Bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan, di sini hari ini.
Beliau juga memohon maaf secara tulus kepada semua pihak jika isu menjadi kerisauan awam.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad Hasan bagi menyerahkan notis kesalahan itu. – KOSMO! ONLINE