KUALA LUMPUR – Seorang pustakawan tidak menyangka, panggilan telefon sebanyak dua kali serta tidak dijawab yang dianggap sebagai scammer rupanya adalah khabar baik untuknya apabila memenangi hadiah pertama sebuah kereta elektrik BYD Atto 3 bagi Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat.
Norayati Johari, 44, yang juga pustakawan di Perpustakaan Awam Johor diumumkan pemenang hadiah tempat pertama kempen tersebut bagi fasa pertama yang berlangsung dari 1 September hingga 30 November lalu.
Ibu kepada dua anak berusia 19 dan 25 tahun itu berkata, dia menerima panggilan sebanyak dua kali kira-kira minggu lalu, namun tidak menjawabnya dan kemudian disusuli mesej pada aplikasi WhatsApp.
“Mesej itu panjang lebar, mulanya tak percaya dan dimaklumkan menang hadiah kereta. Saya pergi ke cawangan Bank Rakyat berdekatan untuk memeriksa kesahihan mesej tersebut.
“Ternyata memang saya menang hadiah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Bank Rakyat di Menara Berkembar bank di sini hari ini.
Katanya, dia menyifatkan hadiah tersebut sebagai rezeki daripada Allah dan akan menggunakan kereta itu sebaik-baiknya bersama keluarga.
“Memang tak sangka, tak jangka rezeki daripada Allah. Saya sangat gembira dan terima kasih Bank Rakyat.
“Sepanjang 25 tahun saya bekerja, saya tak pernah menggunakan kemudahan dengan bank lain, pinjaman peribadi saya buat dengan Bank Rakyat.
“Saya sudah ada dua kereta di rumah iaitu Honda Accord dan Proton Saga, ini hadiah pertama kereta elektrik dan sudah tentu akan cuba dan gunakannya,” katanya.
Seramai 17 pemenang menerima hadiah masing-masing disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff.
Bagi pemenang hadiah kedua dimenangi oleh Syahida Zakaria dari Perak yang membawa pulang hadiah sebuah motosikal BMW CE 04, diikuti pemenang tempat ketiga, Nuzatul Shima Lahudi dari Sabah yang memenangi baucar umrah atau percutian bernilai RM20,000 untuk dua orang.
Hadiah istimewa lain termasuk iPhone, motosikal Modenas, iPad, 5 gram wafer emas dan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bernilai RM1,000 kepada 70 pemenang di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan nilai hadiah lebih RM400,000. – KOSMO! ONLINE