PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda tiga negeri di Semenanjung sehingga Jumaat ini.
MetMalaysia memaklumkan dalam kenyataan hari ini, antara negeri yang terlibat adalah Terengganu, Pahang dan Johor.
“Di Terengganu, cuaca buruk diramal berlaku di Dungun dan Kemaman. Manakala, di Pahang, meliputi kawasan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin,” katanya
Sementara itu, keadaan yang sama turut melibatkan beberapa daerah sekitar Johor seperti Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat cuaca buruk ini. – KOSMO! ONLINE