PETALING JAYA – Hidup bahagia di Australia, pempengaruh media sosial Nurul Shuhada meluahkan rasa bengang dengan tindakan individu terdekat yang cuba memburukkan serta mengganggu ketenangannya.
Lebih teruk, Shuhada yang juga bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi itu mendakwa individu berkenaan sanggup mencipta akaun palsu semata-mata mahu memerhatikan aktiviti sehariannya sepanjang berada di luar negara.
“Ada manusia bermasalah mental gigih sampai mesej langsung (DM) kawan-kawan saya di Australia dan burukkan saya.
“Kawan-kawan dekat sini semua kenal saya macam mana. Kenapa menyibuk nak tahu cara saya bercakap atau teruskan kehidupan.
“Sesiapa yang dapat DM dari akaun palsu burukkan saya, tahu-tahulah siapa itu,” katanya dalam perkongsian di laman sosial.
Dalam masa sama, Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, mendedahkan perbuatan pihak terbabit dilakukan kerana dengki dan cemburu melihat kebahagiaannya di negara orang.
“Hiduplah dengan dibayangi Shuhada Shukri sampai mampus. Sehari tak cakap fasal aku memang tidak boleh hidup.
“Kenapa awak cemburu dengan saya? Dia sakit hati sebab cemburu tak dapat apa yang saya dapat, hati dia busuk berulat,” ujarnya.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menasihatkan individu terbabit agar muhasabah diri selain jangan lagi menyibuk mengenai dirinya.
“Banyakkan istighfar dan doa semoga Allah bersihkan hati awak. Saya sedang bahagia dengan orang sekeliling saya.
“Tolong jaga urusan sendiri dan jangan sibuk tepi kain saya. Sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah beri,” jelasnya.
Sebelum ini, Shuhada memilih untuk berhijrah ke Australia bersama dua anaknya bagi menyambung pengajian di sebuah institusi pendidikan.
Malah, dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam masa terdekat.– KOSMO! ONLINE