TUMPAT – Harga sayur-sayuran di pasaran seluruh negara dijangka kembali stabil pada Mac tahun depan iaitu selepas tamat tempoh musim tengkujuh yang melanda kebanyakan negeri terutamanya di Pantai Timur.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ketika ini sedang memainkan peranan untuk mengawal harga sayur-sayuran terkawal semasa musim tengkujuh.
Menurutnya, banjir ketika ini masih berlaku di beberapa kawasan dan harga sayur-sayuran akan kembali stabil selepas tempoh itu.
“Kenaikan harga sayur-sayuran kebiasaannya tidak lama dan hanya semasa musim tengkujuh. Sebagai contoh sayur jenis timun. Harganya naik semasa musim tengkujuh, tetapi selepas MTL berlaku lambakan sayur itu. Tiada yang mahu membelinya.
“Kita menjangkakan harga sayur-sayuran kembali stabil tidak lama lagi. Mungkin selepas musim tengkujuh iaitu pada Mac tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 dan Tabung Bencana Alam Kebajikan Nelayan di Dewan Terbuka Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sehubungan itu, FAMA sedang bertungkus lumus untuk memastikan harga sayur-sayuran tidak membebankan rakyat selepas ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, harga sayur-sayuran di tujuh negeri mengalami kenaikan ekoran bencana banjir sejak bulan lalu.
Antara sayur yang mengalami kenaikan harga adalah sawi panjang, kailan, lobak, timun, kangkung, daun sup dan tomato.
Terengganu merupakan negeri yang mengalami kenaikan ketara iaitu sekali ganda bagi barang basah tersebut. – KOSMO! ONLINE