PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8 di Kaherah, Mesir bermula hari ini hingga esok.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, pada sidang kemuncak itu, Dr. Zambry dijangka memberi Kenyataan Menteri di Majlis Menteri-Menteri D-8 pada hari ini.
“Seterusnya, pada 19 Disember, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 dan juga Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
“Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga akan dihadiri oleh ketua negara dan kerajaan termasuk Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Iran, Presiden Turkiye dan Perdana Menteri Pakistan,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Zambry dijangka akan menyampaikan polisi dan inisiatif negara dalam meningkatkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan belia Malaysia bagi memacu ekonomi negara.
Kata KPT, ia termasuklah berkongsi pandangan Malaysia dalam mengukuhkan lagi peranan D-8 dalam meningkatkan sosio-ekonomi negara anggota serta cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan dalam kalangan negara D-8 di pelbagai peringkat.
“Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga akan diadakan bersama dengan wakil Negara Anggota D-8 yang lain di sela-sela Sidang Kemuncak tersebut,” katanya.
Untuk rekod, D-8 yang ditubuhkan di Istanbul pada 15 Jun 1997 merupakan sebuah kumpulan negara-negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi.
Ia terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye. – KOSMO! ONLINE