BEKAS pemain skuad kebangsaan, Safee Sali berharap kombinasi Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain bakal ‘meletup’ sekali gus memulihkan reputasi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa bermula tahun depan.
Sebagai rekod, pengendali import dari Australia, Cklamovski telah dilantik menjadi pengendali baharu Harimau Malaya manakala Nafuzi bakal mengemudi skuad bawah 23 (B-23) pada Januari nanti.
Menurut Safee, Cklamovski dan Nafuzi perlu berada dalam ‘kapal’ yang sama agar kesinambungan daripada aspek taktikal dapat diteruskan daripada peringkat senior hinggalah pelapis nanti.
“Dia (Cklamovski) mempunyai pengalaman yang sangat baik dan saya harap dengan pengalaman yang ada, beliau dapat terjemahkan segala usaha untuk memperbaiki kelemahan dalam pasukan Harimau Malaya.
“Sudah pasti kita nak lihat sasaran berada dalam kelompok ranking 100 dunia disempurnakan.
“Bantuan daripada FAM seperti yang diumumkan semalam memang bagus dan ini adalah langkah ke depan untuk era Harimau Malaya yang lebih baik.
“Mengenai Nafuzi pula, kita tahu dia ada pengalaman yang mana dia pernah curahkan bersama pasukan seperti Terengganu dan Kedah, malah beliau mampu bawa pasukan dengan baik.
“Apa yang penting, Nafuzi dan Cklamovski dapat bekerjasama dengan baik dan kita akan dapat satu pasukan junior yang betul-betul selari dengan pasukan senior,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Misi awal yang diberikan kepada Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya dapat menjuarai kelayakan Piala Asia 2027 nanti.