PETALING JAYA – Bergegas ke Mahkamah Sesyen Shah Alam sebaik turun pesawat dari Tokyo, Jepun, pelawak Shuib lega dapat menghadiri
sebutan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, hari ini.
Kata Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, dia akan memberikan kerjasama penuh sepanjang perbicaraan yang dijadualkan disebut semula pada 13 Januari 2025.
“Sebenarnya rancangan bercuti di Jepun sudah lama. Watie (isteri) beli tiket awal tahun ini dan naik mahkamah pertama sebelum ini baru saya dapat tarikh sebutan kedua iaitu pada 18 Disember.
“Memang agak terkejar-kejar tapi alhamdulilah saya sempat tiba di mahkamah walaupun baru sampai Malaysia pada pukul 6.50 pagi tadi. Syukur semuanya dipermudahkan.
“Saya tiada sebarang masalah. Saya akan berikan kerjasama penuh dan ikut proses perundangan,” katanya selepas sebutan kes.
Pada masa sama, Shuib turut menaruh harapan tinggi agar kes berkenaan berjalan dengan lancar selain dapat diselesaikan secara baik.
“Saya berharap perbicaraan ini semuanya okey sahaja, malah hubungan kami dengan pihak Kastam pun baik.
“Adatlah kalau berniaga, kadangkala tersangkut kes begini. Cumanya saya berharap 2025 akan menjadi tahun terbaik buat saya.
“Insya-Allah kita akan cuba selesaikan dengan baik,” ujarnya.
Shuib, 40, hadir di mahkamah di Shah Alam itu bersama Pengarah Syarikat Bubblebee Sdn Bhd, Kho Choon Guan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Januari tahun depan disebabkan terdapat 10 lagi dokumen yang belum diserahkan.
Terdahulu, pada 14 November lalu, Shuib dan Choo Guan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.
Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Malah di bawah seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Selaku Orang Kena Saman (OKS) Shuib dan Choo Guan diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Wan Abdul Rahim Wan Mahamood.
Pada 11 November lalu pula, Shuib bersama Choon Guan didenda sebanyak RM17,500 membabitkan tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan Majistret Ameera Mastura. – KOSMO! ONLINE