PETALING JAYA – Grab Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) menganugerahkan biasiswa sulung GrabScholar kepada enam pelajar berpotensi tinggi bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di seluruh negara.
Biasiswa berkenaan memfokuskan kepada pelajar berlatarkan keluarga yang kurang berkemampuan sekali gus memberi mereka peluang untuk meningkatkan status sosio-ekonomi menerusi pendidikan.
Kesemua penerima menerima sokongan kewangan meliputi yuran universiti, elaun bulanan dan tahunan, serta elaun sekali (one-off) bagi menampung perbelanjaan lain seperti pembelian komputer riba, kos tesis, dan pakaian formal, termasuk tiket penerbangan.
GrabScholar telah dilancarkan pada Julai 2024 bertujuan menyediakan sokongan kewangan dan bimbingan untuk membantu pelajar mengejar impian akademik serta kerjaya pilihan mereka khususnya dalam bidang kelestarian, perniagaan dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua universiti awam seluruh negara.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, GrabScholar merupakan biasiswa penuh universiti dengan menyediakan sokongan berterusan sepanjang perjalanan akademik penerima.
“Pendidikan adalah pemangkin yang penting untuk mobiliti antara generasi dan transformasi masyarakat. Jadi antara manfaat GrabScholar termasuklah tanggungan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, program pembelajaran dan pembangunan, serta peluang latihan amali,” katanya.
Sementara itu, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Manreet Kaur Gill A/P Charanjit Singh, 19, meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima GrabScholar selepas melalui proses temu duga yang mencabar selama hampir lima bulan.
Katanya, pemberian biasiswa ini adalah amat membantu meringankan beban keluarganya kerana dia lahir daripada komuniti B40 dan ayahnya hanya seorang rakan pemandu Grab.
“Syukur ayah tak perlu keluar duit satu sen pun. Setiap kos yang diperlukan sepanjang pengajian tiga tahun setengah ini ditaja menerusi elaun yang diberikan oleh pihak YTAR,” katanya kepada pemberita, di sini baru-baru ini.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, selepas tamat matrikulasi dengan keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0, dia telah memohon sebanyak lapan biasiswa berlainan, sebelum menerima dua tawaran termasuklah GrabScholar.
“Saya dari awal memang berharap dapat GrabScholar sebab pelbagai kemudahan ditawarkan kepada penerima. Paling bagus, biasiswa kali ini bukan hanya menumpukan akademik, malah mereka membimbing kami untuk berjaya dalam kehidupan selepas tamat belajar.
“Selain itu, istimewanya GrabScholar dengan kerjasama YTAR ini, sekiranya kami sebagai penerima gagal menunjukkan prestasi cemerlang pada satu-satu masa, mereka tawarkan bantuan bimbingan untuk pastikan kami mampu capai keputusan cemerlang.
“Tidak semua biasiswa tawar peluang kedua kepada penerimanya,” katanya.
Berkongsi keterujaan yang sama, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Media di Universiti Malaya (UM), Jamie Jesseryl Maxwell Anak James, 22, menyifatkan biasiswa GrabScholar dengan kerjasama YTAR sebagai pembuka rezeki kepadanya apabila berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan pilihan.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak dari suku Bidayuh itu mengakui bahawa dia sebelum ini terpaksa menempuhi jalan sukar bagi mendapatkan biasiswa untuk menyambung pelajaran, termasuklah gagal dalam permohonan UPUOnline.
Jelasnya, untuk menggunakan sepenuhnya dana sendiri demi mencapai cita-cita sebagai penggiat media sangat sukar kerana kini dia hanya hidup berdua bersama ibunya.
“Sehinggalah saya lihat peluang biasiswa yang ditawarkan oleh Grab Malaysia menerusi GrabScholar. Selepas tahu berjaya terpilih sebagai penerima, saya susah hati juga jika pihak Grab dan YTAR akan batalkan kelayakan saya sebab ketika itu, saya masih tidak dapat mana-mana tawaran di UPUOnline.
“Akhirnya pihak YTAR bantu saya untuk menyambung pengajian di UM menerusi saluran terbuka, tetapi kos pengajian agak tinggi sekitar RM60,000. Bagaimanapun, pihak GrabScholar terbuka untuk menanggung keseluruhan yuran pengajian tersebut,” katanya.
Tambahnya, antara keistimewaan GrabScholar berbanding yang lain adalah mereka turut menyediakan ruang untuk pelajar meneroka dunia pekerjaan, disamping mendekati komuniti menerusi projek bersama.
“Sebagai penerima, kami diperlukan untuk mengikuti latihan selama tiga bulan bersama Grab Malaysia dan perlu terlibat dalam program komuniti yang mereka anjurkan, selain diminta supaya merancang satu projek komuniti berlandaskan idea sendiri.
“Pada saya, langkah ini sangat penting dan bagus bagi kami kerana dapat mempersiap diri berdepan dengan cabaran selepas tamat belajar terutama alam pekerjaan,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE