BALIK PULAU – Dua pemuda hilang dipercayai selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan sebelum hanyut semasa keluar memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang di sini, petang semalam.
Mangsa, Nor Hasrul Abdullah, 25, yang berasal dari Paya Kongsi dan rakannya, Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dari Titi Teras masih gagal dihubungi sehingga petang ini.
Pengerusi Masjid An-Nur Titi Teras, Datuk Mohd. Tuah Ismail berkata, pihaknya difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 6. 25 petang selepas salah seorang mangsa dikatakan sempat menghubungi ahli keluarga mereka bagi memaklumkan kejadian berlaku semalam.
“Salah seorang mangsa merupakan anak kariah di Titi Teras. Mangsa dikatakan ada menghubungi ahli keluarganya supaya mendapatkan bantuan di laut setelah bot yang mereka naik mengalami kerosakan.
“Mangsa gagal dihubungi selepas dikatakan berlaku kejadian ribut di kawasan berkenaan petang semalam,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam memberitahu, hasil siasatan pihaknya mendapati berlaku kejadian bot hanyut melibatkan dua mangsa warga tempatan.
“Mangsa ketika kejadian menaiki bot berwarna biru dan merah serta tiada nombor pendaftaran. Operasi SAR masih diteruskan sehingga kini,” ujarnya.
Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh salurkan maklumat ke Bilik Gerakan Polis Barat Daya ditalian: 04-8664122 atau mana-mana balai berdekatan. – KOSMO! ONLINE.