JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Januari depan bagi keputusan bantahan awal permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, dan isterinya, Datin Azura Md. Yusof.
Permohonan itu dibuat pihak pembelaan bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak responden dan juga barisan peguam pemohon.
Peguam responden yang diwakili Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali; Mohd. Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil dalam hujahan bantahan awal terhadap permohonan tersebut menyifatkan permohonan itu sebagai ‘pintu belakang’ untuk membebaskan pemohon menggunakan sistem mahkamah.
Mohamad Firdaus berkata, pemohon sebaliknya perlu membuat semakan kehakiman atau kaedah lain bagi mencabar penahanan mereka dan bukannya menerusi permohonan habeas corpus.
Sementara itu, barisan peguam pemohon pula diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.
Turut hadir pada prosiding, dua peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia, R. Jayabalan dan Khairul Azwad yang memantau bagi kepentingan awam.
Dalam prosiding sama, hakim turut membatalkan permohonan habeas corpus Pengurus Kafe Ikhwan milik GISBH di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd. Sani, 28, selepas ditarik balik barisan peguam pemohon.
Hakim memutuskan sedemikian berikutan plaintif telah dibebaskan di bawah jaminan selepas prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada 30 Oktober lalu.
Terdahulu, prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu telah didengar pada 30 Oktober lalu dengan kedua-dua pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. – KOSMO! ONLINE