PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada tindakan undang-undang khususnya membabitkan individu yang merokok di kawasan dilarang.
Dr. Dzulkefly berkata demikian bagi mengulas satu foto tular memaparkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sedang merokok di sebuah restoran.
“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang’,” katanya di laman X.
Terdahulu, foto itu yang dimuat naik di media sosial menunjukkan Mohamad memegang rokok di sebuah restoran sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
Bagaimanapun, lokasi dan waktu foto itu diambil tidak dapat dikenal pasti.
Sehubungan itu, rata-rata meminta pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan tegas berhubung perkara terbabit.
“Sekarang ini nak tahu berani tak ambil tindakan dekat menteri?” soal Adee.
“Tolong ambik tindakan. Jangan cakap sahaja,” jelas Seroja. – KOSMO! ONLINE