HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir di sini yang merundum ekoran penularan pandemik Covid-19 empat tahun lalu kembali pulih apabila menerima kehadiran seramai 360,240 pelawat dalam masa 11 bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong berkata, ia peningkatan lebih 65 peratus berbanding 218,157 pelancong pada tahun lalu.
Beliau berkata, kunjungan pelancong ke Tasik Kenyir yang menawarkan pelancongan berteraskan alam semulajadi dan perikanan rekreasi merosot mendadak dalam tempoh tiga tahun terakhir sebelum ini ekoran pandemik Covid-19.
“Seramai 208,097 pelancong ke Tasik Kenyir pada tahun 2020, 277,969 orang (2021) dan 246,846 orang (2022).
“Sebagai perbandingan, destinasi pelancongan terkenal ini dikunjungi 607,398 pelancong pada 2019 (sebelum pandemik Covid-19),” katanya di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan penutup pertandingan Memancing Monson Antarabangsa (IMCT) kali ke-16 yang disertai 350 pemancing tempatan dan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE