ARAU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan tapak bagi setiap projek pembinaan sekolah baharu berada di kawasan selamat dan tiada risiko berlaku bencana terutama banjir.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan tapak sekolah baharu akan terus diberi keutamaan bagi mengelak kawasan tersebut terjejas teruk akibat bencana susulan perubahan iklim.
“Suasana yang kondusif untuk menjamin pendidikan sangat penting. Sebab itu bila berlaku bencana seperti banjir, saya fikir ini antara perkara yang kita sedang teliti dan ambil pendekatan tegas.
“Ke hadapan, pembinaan bangunan-bangunan (sekolah baharu) dan pemilihan tapak mestilah di kawasan yang selamat dan tinggi. Sekolah kena selamat dan kedua ia menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Asrama Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) sempena Program Ziarah Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di sini hari ini.
Susulan itu, kata beliau, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penelitian rapi berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga akan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan bagi sekolah terjejas banjir dilakukan segera bagi menjamin suasana pembelajaran yang kondusif.
“Apabila berlaku banjir dan bencana yang menimpa khususnya melibatkan sekolah, kita lihat daripada aspek yang lebih jauh iaitu bagaimana sekolah-sekolah ini harus terus menjadi sekolah yang kondusif.
“Pasca banjir dan juga perubahan iklim memberikan kesan langsung apabila berlaku gangguan dalam pendidikan. Gangguan kepada pendidikan kerana bencana akan memberikan kesan langsung kepada pelajar dan guru,” ujarnya.
Justeru, katanya, kerja-kerja penyelenggaraan yang cepat perlu dilaksanakan dalam usaha mengekalkan kesejahteraan dan suasana yang kondusif di sekolah. – KOSMO! ONLINE