KUCHING – Sampel DNA mayat seorang wanita yang dijumpai dalam keadaan hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan di sini sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Justeru, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu laporan untuk pengesahan identiti mayat tersebut.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan selepas pengesahan identiti mangsa dilakukan setelah proses bedah siasat dan pengecaman mayat selesai,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga masih menyiasat motif kejadian.
Terdahulu, Mohd. Farhan dilaporkan berkata pihaknya menemukan mayat itu selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun pada Sabtu lalu.
Susulan itu, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Disember ini untuk siasatan lanjut kerana disyaki membunuh.
Bagaimanapun, identiti mayat itu belum lagi dikenal pasti, namun telah dikaitkan dengan kes kehilangan seorang wanita berusia 28 tahun sejak 5 Disember lepas, setelah keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali. – KOSMO! ONLINE