PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang diadakan semalam, antara dibincangkan adalah cadangan dasar bagi penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat (atau Freedom of Information Act, FOI).
Jelas Perdana Menteri itu, mesyuarat JKKTN yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bersetuju agar RUU tersebut dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.
“Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025 ke arah meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa Kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang.
“Mesyuarat turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” tulisnya dalam satu kenyataan di media sosial.
Tambah beliau, langkah itu diambil untuk menambahbaik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
“Adalah menjadi tekad Kerajaan untuk sentiasa memperkukuh agenda tatakelola baik negara, mempertingkat integriti dan memerangi rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” tulis beliau lagi.
Terdahulu, Anwar pada 14 September 2023 telah bersetuju secara prinsip terhadap penggubalan Akta Kebebasan Maklumat di peringkat kebangsaan dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam atau Kerajaan di Malaysia.
Pada masa yang sama, Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dikekalkan dan turut akan dipinda bagi membolehkan kedua-dua perundangan ini melengkapi antara satu sama lain. – KOSMO! ONLINE