fbpx

Ranking 100 dunia, Piala Asia misi utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CKLAMOVSKI pernah bersama Postecoglou mengemudi Australia menjuarai Piala Asia 2015.

Cklamovski galas dua tugas berat

Oleh MOHD FITRIE MUHAMAD

DUA misi iaitu layak ke Piala Asia 2027 dan menempatkan pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia menjadi tanggungjawab sulung buat pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk berpeluang bekerjasama dengan pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou dilihat menjadi kekuatan utama bagi jurulatih dari Australia itu untuk memacu kejayaan buat Harimau Malaya.

Daripada pengumuman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Cklamovski akan menyediakan set staf kejurulatihan bagi memastikan pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan diberi tunjuk ajar sebaiknya.

“Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas dilihat sebagai seorang jurulatih muda berkaliber dalam memastikan Harimau Malaya bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah memastikan Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi selain memperbaiki ranking FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” menurut kenyataan FAM.

Harimau Malaya yang kini bersaing di Piala ASEAN 2024 masih lagi dilatih oleh Pau Marti Vicente yang mana ia adalah tugasan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan.

Cklamovski yang kini berusia 46 tahun pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah Postecoglou ketika mereka mengemudi Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai liga utama Jepun (J1) pada 2019 bersama Yokohama F. Marinos.

Cklamovski kemudian mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus Shimizu S-Pulse pada 2020 sebelum melatih kelab Liga J2, Montedio Yamagata.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI