fbpx

Pusat jagaan anak yatim terpalit kes cabul, pukul diarah tutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Sebuah pusat jagaan anak-anak yatim swasta di Kulai, dekat sini yang terpalit dengan kes pemilik premis itu didakwa merogol dan dera penghuninya, diarahkan tutup sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, arahan penutupan premis terbabit susulan laporan JKM Johor yang menjalankan siasatan dan mendapati 55 kanak-kanak berlindung di pusat jagaan terbabit pada 9 Disember lalu.

“Hasil siasatan dan intervensi awal, 32 daripada keseluruhan kanak-kanak terbabit dipulangkan kepada ibu bapa kandung mereka pada 10 Disember lalu.

“Baki 23 kanak-kanak terdiri 10 lelaki dan 13 perempuan diselamatkan dan ditempatkan di ‘safe place’ (lokasi perlindungan) di bawah kendalian JKM yang diwartakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Semua 23 kanak-kanak diselamatkan itu turut dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak pada 11 Disember untuk mendapatkan Perintah Sementara mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Mahkamah membenarkan mereka ditempatkan di tempat selamat yang diwartakan di bawah akta berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Kosmo! melaporkan pengerusi yang juga pemilik pusat jagaan anak yatim swasta itu didakwa atas dua pertuduhan merogol penghuni berusia 17 tahun dan penganiayaan kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Bagaimanapun tertuduh lelaki berusia 59 tahun mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial berdurasi 56 saat dipercayai berlaku di pusat jagaan sama, memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku di rumah jagaan anak yatim sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI