BENTONG – Polis berjaya menumpaskan kumpulan bersenjata dikenali’ Geng Heri’ yang aktif melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang dengan tertangkapnya lima suspek pada 8 hingga 15 Disember lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 34 tahun itu ditahan dalam siri serbuan di Gombak, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur dalam operasi membabitkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong.
Katanya, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek, Mohamad Faizal Supardi, 32, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Peja’ yang dipercayai turut terlibat dalam jenayah tersebut.
“Kumpulan samun ini mula diburu selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa disamun pada 29 Oktober lalu pada pukul 1.45 pagi di kedai runcit miliknya yang terletak di Jalan Lama Kuala Lumpur – Bentong.
“Geng samun ini yang bersenjatakan parang dan besi turut menyamar sebagai polis serta bertindak menggari tangan mangsa.
” Suspek turut mengambil sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM8,000. Didalam kes ini, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM9,500,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan tangkapan kumpulan samun ‘Geng Heri’ di IPD Bentong di sini, hari ini.
Beliau berkata, kumpulan samun itu menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan warga asing sebagai mangsa jenayah.- KOSMO! ONLINE