BENTONG – Polis mengambil keterangan tiga individu berhubung kes seorang wanita yang mendakwa bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua individu itu dipanggil pada Ahad lalu bagi membantu siasatan susulan hantaran yang dimuat naik pengguna bernama Faridah Daud (faridah.daud_l) di Instagram baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, pihak polis masih mengesan wanita tersebut dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat dalam usaha mempercepatkan proses siasatan.
“Kita sudah ambil tiga keterangan, kes ini masih dalam siasatan. Kita sedang buat ‘profiling’ dan mengesan Faridah.
“Diharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat (mengesan Faridah) untuk mempercepatkan proses siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Selasa lalu, Istana Pahang menafikan satu hantaran tular mengenai perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan wanita kononnya bakal berlangsung pada April 2025.- KOSMO! ONLINE