IPOH – Perak dijangka mengekalkan statusnya sebagai negeri paling ramai warga emas menjelang 2030 pada kadar 20.5 peratus daripada jumlah penduduk negeri.
Bagi menghadapi cabaran tersebut, negeri ini sedang membangunkan sistem dan garis panduan kemudahan yang mesra kepada golongan tua termasuk mempelajari formula daripada negara Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sistem itu akan mengambil inspirasi daripada penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang digunakan dalam industri pembinaan bagi mengalakkan konsep mesra alam sekitar.
“Tujuan utama sistem ini adalah untuk menilai dan mengiktiraf bangunan serta kemudahan awam yang memenuhi kriteria mesra warga emas,” katanya semasa menghadiri Program Sejahtera Warga Emas di sini hari ini.
Mengikut kaji selidik tahun 2020 yang dikongsikan kepada media, Perak mempunyai bilangan kelompok berusia lebih 65 tahun pada kadar 8.9 peratus, diikuti Kedah dan Perlis pada kadar 7.9 peratus, Sarawak 7.5 peratus dan Selangor 6.9 peratus.
Secara pecahan daerah, Kampar merupakan kawasan mempunyai bilangan warga emas yang tertinggi di Perak. – KOSMO! ONLINE