KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik seorang pempengaruh yang berpangkalan di Korea Selatan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden tersebut.
“Saya menyeru mana-mana mangsa yang terbabit supaya segera membuat laporan polis. Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Korea Selatan untuk menyiasat perkara ini.
“Laporan itu penting bagi memudahkan polis mendapatkan kerjasama daripada Interpol atau pihak berkuasa Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di laman media sosial TikTok video seorang wanita yang mendakwa dirinya bersama rombongan terkandas di lapangan terbang selepas tiket penerbangan pulang ke tanah air yang dijanjikan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri tidak wujud.
Wanita itu mendakwa telah membuat semakan di kaunter tiket namun namanya bersama rombongan tidak tersenarai dalam rekod tempahan penerbangan.
Dalam video tersebut, wanita berkenaan turut mendedahkan bahawa percubaannya menghubungi Kim Seri hanya berakhir dengan alasan masalah teknikal dalam proses tempahan tiket.
Luahan wanita tersebut yang mendakwa sudah membuat bayaran penuh seperti diminta pempengaruh berkenaan turut menuntut agar Kim Seri bertanggungjawab atas kejadian itu.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai dengan rata-rata netizen meminta mangsa segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu terbabit.-KOSMO! ONLINE.