fbpx

Malaysia-India jalin kerjasama strategik dalam sektor maritim global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soon Hin (dua dari kanan) ketika menandatangani Memorandum of Understanding) bersama Indian Port Association (IPA) di New Delhi, India.

GEORGE TOWN – Malaysia memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor maritim global apabila Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Lembaga Pelabuhan Klang memeterai satu perikatan yang signifikan bersama India, iaitu India Malaysia Port Alliance (IMPA).

Perikatan itu telah termerai melalui Memorandum Persefahaman bersama Indian Port Association (IPA) yang ditandatangani semalam di New Delhi, India.

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, MoU yang ditandatangani itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dua hala kedua-dua negara.

“MoU ini juga dapat meneroka bidang-bidang yang berpotensi tinggi dan berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan infrastruktur pelabuhan, reformasi dasar perkapalan dan juga pengurusan maritim yang mampan.

“Namun begitu, ia tidak terhad kepada manfaat yang disebutkan sahaja, malah skop perikatan ini akan berkembang mengikut keperluan semasa bagi memastikan ia kekal relevan pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, melalui kerjasama ini, Malaysia terus menjalinkan hubungan antarabangsa yang lebih kukuh, mempertingkatkan prestasi operasi pelabuhan, dan menyumbang kepada kemajuan perdagangan global serta pembangunan maritim.

“Perikatan ini memberi tumpuan kepada pengoptimuman infrastruktur pelabuhan, perkongsian amalan terbaik, dan penerapan teknologi inovatif untuk memudahkan perdagangan yang lancar dan mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor maritim,” katanya.

Tambahnya, MoU itu juga bertujuan untuk mempromosikan perdagangan antara Malaysia dan India, mengembangkan industri kapal pelancongan, menyediakan latihan, dan memudahkan perkongsian pengetahuan berkaitan teknologi maritim.

“Dengan menguatkan hubungan perdagangan dan menggalakkan perkongsian pengetahuan, Malaysia berusaha untuk mempertingkatkan kedudukannya di pasaran global dan memperbaiki keupayaan industrinya,” katanya.

Selain itu, katanya, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) selaku operator yang dilantik untuk mengendalikan operasi Pelabuhan Pulau Pinang telah mengambil peluang untuk menandatangani Letter of Appointment bersama Maritime Marvel Cruise Pte. Ltd. dari Singapura.

“Letter of Appointment turut ditandatangani dengan Thirdeye Maritime Services Pvt. Ltd. dari India pada 16 Disember 2024 sebagai langkah proaktif bagi mempromosikan aktiviti kapal pelancongan di Malaysia,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI