fbpx

Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak diserah kepada keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALBIAH (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada perasmian Program Sejahtera Warga Emas peringkat negeri Perak 2024 di Ipoh hari ini.

IPOH – Sebahagian besar kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan rumah amal dikaitkan Global Holdings Sdn. Bhd (GISBH) di negeri ini telah dituntut keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah itu antara 55 penghuni rumah amal GISBH yang ditempatkan di rumah jagaan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa juga tindakan yang kita lakukan, semuanya adalah berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis. Setakat ini, proses siasatan masih dijalankan dan ada (kanak-kanak) yang telah dituntut dan ada juga yang belum.

“Secara spesifiknya saya tiada angka yang tepat berapa ramai kanak-kanak yang telah dituntut tapi majoritinya telah pun diserahkan kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Sejahtera Warga Emas peringkat Negeri Perak 2024, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, seramai 136 kanak-kanak GISBH masih belum dituntut keluarga dan kini ditempatkan di sembilan institusi JKM.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, tiada tangkapan susulan kanak-kanak dalam Op Global sejak September lalu di negeri ini dan jumlahnya kekal sebanyak 55 orang.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, bayi lelaki yang ditemui Sabtu lalu di kawasan semak di belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan, kini berada dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI