PETALING JAYA – Didakwa menjadi punca kemalangan di Jalan Bukit Bintang, pengarah Syamsul Yusof menjelaskan insiden terbabit bukan disebabkan kecuaiannya yang ketika itu memandu di lokasi sama.
Kata Syamsul atau Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 40, perlanggaran antara kereta Audi dengan kenderaan jenis serba guna (MPV) di posisi hadapan adalah kerana pemandu berkenaan itu sendiri yang tidak fokus.
“Ini video sebenar, Audi tak fokus bukan salah saya,” tulisnya menerusi hantaran dalam Instagram merujuk video tular itu.
Difahamkan, video berkenaan diulang siar di laman sosialnya daripada seorang individu yang merakamkan kenderaan dipandunya di laluan sama ketika kejadian.
Dalam rakaman itu, kereta Lamborghini yang dipandu Syamsul dilihat bergerak perlahan di lorong susur keluar sebelum berlakunya pelanggaran membabitkan dua kenderaan di lorong sebelahnya.
Pada masa sama, pelakon terbabit dilihat membuka tingkap dan melihat ke arah kamera dirakam individu tersebut sebelum meneruskan perjalanan.
Cuma tidak dapat dipastikan sama ada Syamsul menyedari kedua-dua kenderaan di lorong bersebelahan kemalangan.
Menerusi ruangan komen, netizen berseloroh dengan mendakwa jentera mewah Syamsul menjadi punca kemalangan dek kerana terlampau menonjol.
Tidak kurang juga mengusik apabila bertanyakan identiti penumpang yang berada di sisinya.
“Lawo (lawa) sangat kereta tu,” tulis pelakon Fattah Amin.
“Kacak sangat kereta sampai orang sebelah terhantuk,” kata seorang pengikutnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai jentera mewah milik Syamsul menjadi punca kemalangan di hadapan sebuah pusat beli-belah. – KOSMO! ONLINE