KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang membangunkan Kerangka Industri Penjagaan dalam usaha mengembangkan industri pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bertujuan untuk melahirkan lebih ramai penjaga terlatih dan berkebolehan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Dengan peningkatan penawaran ‘caregivers’ pelbagai tahap kemahiran dan kelayakan, ia seterusnya dapat mengembangkan industri ini serta memberi pilihan yang lebih luas kepada pasaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Senator Anna Bell@Suzieana Perian berhubung insentif kepada golongan wanita bekerja yang menjaga anak bagi mengekalkan mereka dalam pasaran buruh, namun pada yang sama menjaga orang tua kerana kos pusat jagaan harian orang tua adalah mahal.
Nancy berkata, selain daripada itu, KPWKM berusaha menggalakkan majikan di sektor awam dan swasta supaya menyediakan pusat asuhan atau taska di tempat kerja.
Menurut beliau, penyediaan Taska memberi impak secara langsung terhadap produktiviti pekerja terutama pekerja wanita.
Kata beliau, galakan turut diberikan untuk lebih banyak Pusat Jagaan Warga Emas kendalian pihak swasta serta Pertubuhan Sukarela Kebajikan ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan Pusat Jagaan Warga Emas.
“Pada masa ini lebih 400 buah telah diluluskan pendaftarannya,” katanya.
Kata beliau, kerajaan turut memberikan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika untuk menyokong wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak.
“Isu penyertaan wanita dalam tenaga buruh merupakan isu merentas bidang yang memerlukan penglibatan, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.
“Justeru, lebih banyak usaha akan terus dilaksanakan oleh KPWKM bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan dalam menyokong penglibatan wanita secara produktif dalam pasaran buruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE