KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh membabitkan jongkong emas bernilai RM500,000.
Bagaimanapun Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Robin Miah dengan merompak jongkong emas anggaran berat 1,499.81 gram bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000 dan sebuah telefon bimbit jenis Redmi Note 13 yang merupakan harta dalam kawalan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pukul 12.25 tengah hari hingga 3.15 petang pada 26 November lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk tiga anak.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua pihak, Hakim Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 22 Januari tahun depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE