fbpx

Kes keluarga Balai Polis Ulu Tiram dibicara serentak 20 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Balai Polis Ulu Tiram dalam kejadian pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Januari tahun depan bagi mendengar permohonan pendakwaan supaya kes membabitkan lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram untuk dibicarakan bersama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu pada sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Kelima-lima tertuduh itu ialah bapa penyerang itu, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya, Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya, Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesemua sembilan pertuduhan yang dihadapi kelima-lima tertuduh perlu dibicarakan bersama kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, peguam Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan setakat ini pihaknya belum berpendirian sama ada akan membantah permohonan pendakwaan itu, tetapi akan memfailkan afidavit jawapan selepas kesemua dokumen diterima.

Mengikut pertuduhan, Radin Imran berdepan empat pertuduhan, termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan Daesh

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas Daesh dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) akta sama.

Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah, turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun sama, memberi sokongan kepada daesh dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Bagi tuduhan keempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkait kumpulan daesh dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kerana memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan daesh dan perlakuan pengganas.

Rosna, Farhah Sobrina, dan Mariah pula dituduh sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkait kesalahan yang dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun sama.

Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang seorang yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

Lelaki yang menyerang balai tersebut turut mati ditembak dalam kejadian kejadian berdarah tersebut.

Suspek iaitu lelaki yang memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis tersebut dengan menggunakan senjata parang.

Suspek bertindak mencederakan dua anggota polis yang sedang bertugas, sebelum merampas dua laras senjata api dan melepaskan dua das tembakan.

Tembakan itu mengenai salah seorang anggota polis menyebabkan anggota keselamatan itu mengalami kecederaan pada bahu serta perut.

Mangsa yang ditembak dikenal pasti sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang ditetak pula ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI