KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama syarikat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Exhibition and Conference Sdn. Bhd.
Permeteraian perjanjian ‘DSA Scholarship Fund’ itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti pendidikan tinggi anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi MoA tersebut, DSA bakal menyumbangkan dana keseluruhan berjumlah RM400,000 bermula 2024 hingga 2030.
Sebanyak RM100,000 akan disalurkan menerusi penganjuran DSA dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) yang diadakan secara dwi tahunan.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan Pengarah DSA, Datuk Azzat Kamaludin di Bangunan Canselori UPNM, di sini hari ini.
Mardzuki berkata, kolabrasi bersama DSA selari dengan aspirasi UPNM untuk membantu mereka yang memerlukan supaya terus menyumbang kepada pembangunan modal insan.
“Dana ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan tinggi anak-anak anggota ATM dan PDRM sekali gus mengukuhkan lagi peranan UPNM sebagai institusi dalam bidang pertahanan,” katanya.
Tambah Mardzuki, UNPM komited untuk memastikan program tersebut akan memberi manfaat kepada pelajar yang layak.
“Dengan adanya sokongan daripada pihak DSA, UPNM dapat memperluaskan capaian kepada peluang pendidikan berkualiti,” jelasnya.
Sementara itu, Azzat berkata, kerjasama itu bukan hanya sekadar sokongan kewangan, tetapi juga bertujuan untuk memupuk semangat, inovasi, kepimpinan, dan kecemerlangan akademik dalam kalangan anak-anak perajurit.
“Pihak kami berharap sumbangan ini dapat membuka jalan untuk pelajar-pelajar mencapai kejayaan dan memberi sumbangan yang bermakna kepada kemajuan Malaysia.
“Kerjasama dengan UPNM ini juga menonjolkan komitmen DSA dalam membina komuniti pertahanan dan keselamatan yang lebih kukuh serta saling berhubung,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE