PETALING JAYA – Bekas Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat sebelum ini, Tan Sri Musa Aman yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah Ke-11 hari ini mengucapkan ucapan terima kasih dan menjujung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di atas perlantantikan tersebut.
Musa melalui satu kenyataan di Facebook rasminya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima suratcara pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong di Singgahsana Kecil Istana Negara Kuala Lumpur.
“Menjunjung Kasih Tuanku. Terima kasih Perdana Menteri Malaysia dan terima kasih Ketua Menteri Sabah,” tulis beliau ringkas.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berusia 73 tahun itu dilantik bagi menggantikan TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin yang bakal menamatkan tempoh berkhidmat beliu pada 31 Disember nanti.
Musa bakal berkhidmat untuk tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Musa mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Negara pagi tadi turut disaksikan oleh Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE.