LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mahu kekal bersikap realistik dan enggan terlalu dibuai dengan kemenangan 2-1 ke atas Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Maresca juga tidak mahu memikirkan tentang andaian yang mengatakan The Blues sudah boleh dianggap sebagai pencabar utama kepada Liverpool untuk memburu kejuaraan EPL musim ini.
“Semua ini bukan tentang berapa banyak perlawanan yang kami dapat tetapi lebih kepada realistik. Masih ada perkara yang perlu kami lakukan lebih baik, sebab itu saya katakan kami belum bersedia (pencabar EPL).
“Penyokong boleh bercita-cita dan memikirkan tentang kejuaraan, namun kami dalam kelab, kami kena bersikap realistik,” katanya.
Selepas mengharungi 16 aksi awal, Chelsea kini di tangga kedua dan sudah mengumpul 34 mata, kurang dua mata berbanding pendahulu, Liverpool yang beraksi kurang satu perlawanan.
The Blues yang meraih tujuh kemenangan berturut-turut setakat ini juga berkelebihan empat mata berbanding seteru London, Arsenal di tempat ketiga.
Pengurus Brentford, Thomas Frank turut menganggap Chelsea kini sudah berada di landasan tepat untuk cuba mencabar kejuaraan musim ini.
Dua gol Chelsea dalam aksi itu dihasilkan oleh Marc Cucurella dan Nicolas Jackson pada minit ke-43 serta, manakala jaringan tunggal Brentford diperoleh menerusi Bryan Mbeumo (m-90).
Bagaimanapun, aksi itu turut dicemari dengan insiden kad merah yang dilayangkan kepada Cucurella di penghujung perlawanan. – AGENSI