MANCHESTER – Wira Manchester United, Amad Diallo menghamburkan pujian kepada rakan sepasukannya yang tidak menunjukkan sikap mengalah ketika bangkit menewaskan Manchester City 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
The Red Devils ketinggalan kepada City di separuh masa pertama melalui tandukan Josko Gvardiol sebelum dua gol dalam tempoh dua minit memastikan tiga mata berharga buat United dalam derbi Manchester di Stadium Etihad.
Kejayaan itu berpunca daripada kerja keras Amad bermula dengan memenangi sepakan penalti disempurnakan oleh Bruno Fernandes pada minit ke-88 sebelum pemain sayap Ivory Coast itu meledak gol kemenangan berselang dua minit kemudian.
“Ini adalah perasaan yang sangat indah. Menang dengan City dalam derbi seperti ini, apatah lagi beraksi di tempat lawan menentang salah satu pasukan terbaik dunia, jadi memang saya gembira.
“Kami tahu ia tidak mudah kerana ini adalah derbi. Kalau anda mahu menang, anda perlu menunjukkan kemahuan yang cukup tinggi dan itulah yang kami lakukan hari ini.
“Saya tiada apa-apa rahsia, cuma mengikat sistem permainan telah diterapkan pengurus. Beliau mahu kami kerap lakukan tekanan dan berikan 100 peratus. Itulah yang saya lakukan, tidak kisah bertemu sesiapa pun,” kata Amad.
Biarpun baru meledak dua gol dalam kancah EPL musim ini, namun pemain berusia 22 tahun itu dilihat sebagai tunjang utama dalam sistem permainan pengurus United, Ruben Amorim.
Amad yang pernah dihantar keluar secara pinjaman sebanyak dua kali sebelum ini dengan menyertai Rangers dan Sunderland, kini berharap dia dapat terus memainkan peranan besar buat The Red Devils. – AGENSI