KANGAR – Anggota keselamatan khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini diminta lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas susulan kejadian melepaskan tembakan di Padang Besar pada Khamis lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, langkah keselamatan seperti pemakaian vest dan helmet kalis peluru telah lama dipraktikkan bagi melindungi anggota PGA di kawasan sempadan.
“Anggota PGA yang bertugas di sempadan negara terdedah kepada pelbagai ancaman dan perlu lebih berhati-hati setiap masa.
“Langkah berjaga-jaga ini penting sama ada ketika berada di pos kawalan atau semasa menjalankan rondaan,” katanya ketika diminta mengulas insiden tembakan ke arah sempadan Malaysia pada Khamis lalu.
Menurut beliau, kejayaan menahan dua suspek warga Thailand yang melepaskan tembakan tersebut adalah hasil kerjasama erat pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand.
“Sebaik sahaja rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sempadan diperoleh, maklumat itu diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand sehingga kedua-dua suspek berjaya diberkas.
“Maklumat awal mendapati suspek melepaskan tembakan untuk menguji pistol semi automatik ke arah pasukan keselamatan kita,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand kerana insiden berlaku di sempadan negara tersebut. Namun, pihak polis kedua-dua negara akan terus berkongsi maklumat bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan. – KOSMO! ONLINE