fbpx

Definisi T15 ditetapkan dalam tempoh terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri akan memperhalusi dan membuat keputusan berhubung definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 dalam tempoh terdekat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, terdapat beberapa cadangan sedang dibincangkan oleh kerajaan mengenainya untuk diguna pakai bagi pemberian bantuan dan subsidi.

Ujar beliau, pendekatan berdasarkan pendapatan kasar B40, M40 dan T20 akan beralih kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran yang lebih inklusif dan adil.

“Pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW),” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai perincian kerajaan berkenaan golongan T15 yang berdepan penarikan balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan.

Rafizi berkata, PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.

Jelas beliau, penggunaan PAKW boleh membantu mengurangkan ralat keciciran dalam pengagihan bantuan dengan memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

“Melalui maklumat kewangan isi rumah yang lebih baik, kita boleh perluas kepada pelaksanaan-pelaksanaan lain termasuk subsidi haji yang boleh menggunakan data dan pengelasan yang lebih adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI