KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak menolak kemungkinan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan terus ‘berkayuh’ bersama skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, meskipun usia Azizulhasni bakal mencecah 37 tahun menjelang 2025, namun atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu masih dianggap sebagai aset buat pasukan negara.
Pada ketika ini, atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu sedang memberikan fokus sepenuhnya bagi menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Clinical Exercise Science di Universiti Deakin Melbourne, Australia.
“Azizulhasni sudah beritahu Presiden (Datuk Amarjit Singh) hasratnya untuk fokus kepada pengajian. Bagaimanapun, pada masa sama dia masih mahu meneruskan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
“Hari ini kami berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan merasakan dia masih boleh memainkan peranan cukup penting dalam pasukan, terutamanya dalam acara pecut berpasukan walaupun pada usia begitu,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di MSN, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemenang dua pingat Sukan Olimpik itu akan diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya bersetuju untuk terus berada dalam Program Podium pada tahun hadapan.
“Pada ketika ini dia memang berada dalam Program Podium. Sekiranya bersetuju, dia akan terus berada dalam program itu tahun depan dan diberikan KPI sama seperti pelumba-pelumba yang lain,” ujar Arif.
Jika Azizulhasni memilih untuk kekal berada dalam Podium, KPI yang perlu dicapai adalah melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Chile pada 15 hingga 19 Oktober tahun depan. – KOSMO! ONLINE