BESUT – Seorang akauntan berputih mata apabila kerugian RM90,000 selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan kononnya sepantas 24 jam.
Wanita berusia 33 tahun itu yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya mangsa tertarik apabila dipelawa untuk menyertai skim pelaburan yang didakwa berpengkalan di Hong Kong dan Taiwan.
“Suspek menyakinkan mangsa kononnya pulangan pelaburan boleh diperoleh dalam masa 24 jam. Mangsa dan suspek hanya berhubung menerusi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Md. Sani berkata, wanita tersebut kemudian dijemput menyertai kumpulan WhatsApp sebelum diajar cara-cara untuk melabur.
Beliau berkata, mangsa membuat pelaburan dengan jumlah keseluruhan RM90,000 menerusi beberapa transaksi ke dalam empat akaun bank sejak September lalu sebelum menyedari ditipu.- KOSMO! ONLINE