Padah menciplak karya hasil komposer Brazil, penyanyi terkenal, Adele diarahkan untuk menurunkan lagu Million Years Ago daripada semua platform penstriman muzik.
Perintah itu dikeluarkan oleh mahkamah di Brazil selepas Toninho Geraes mendakwa penyanyi yang popular dengan lagu Someone Like You itu menciplak karyanya berjudul Mulheres yang dihasilkannya pada tahun 1995 untuk penyanyi, Martinho da Vila.
Menerusi agensi berita, AFP, perintah yang diarahkan oleh hakim Victor Torres itu menuntut syarikat rakaman Adele iaitu Sony Music Entertainment dan Universal Music membayar denda AS$8,000 (RM35,584) bagi setiap tindakan ketidakpatuhan.
Antara perintah lain adalah syarikat rakaman perlu menghentikan segera secara global daripada menggunakan, menghasilkan semula, menyunting, mengedar atau mengkormesialkan lagu tersebut termasuk menerusi fizikal atau digital, penstriman atau perkongsian.
Bagaimanapun syarikat rakaman masih boleh membuat rayuan berhubung perkara itu sementara menunggu tindakan lanjut mengenai kes berkenaan. Namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman tersebut mengenai kes ini.
Sementara itu Geraes turut memfailkan saman bagi kehilangan royalti dan ganti rugi moral berjumlah AS$160,000 (RM711,680) serta kredit penulisan pada lagu nyanyian Adele.
Millions Years Ago dilancarkan pada tahun 2015 menerusi album ketiga Adele yang berjudul 25. Lirik lagu berkenaan ditulis oleh Adele sendiri manakala komposer melodinya hasil gubahan Greg Kurstin. – KOSMO! ONLINE