KUALA LUMPUR – Percintaan selama tujuh tahun dengan seorang lelaki yang dikenali melalui media sosial berakhir dengan episod tragis bagi seorang warga emas selepas kerugian hampir RM2.2 juta akibat terjerat penipuan cinta atau ‘love scam’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, akauntan berusia 67 tahun itu berkenalan dengan suspek yang mendakwa ahli perniagaan dari Amerika Syarikat melalui Facebook pada 2017.
Hubungan mereka kemudian menjadi rapat dan hanya berhubung secara maya.
“Bagaimanapun, kekasih maya itu mula meminta wang dengan alasan mahu berpindah ke Malaysia. Mangsa dari Sabah tanpa ragu-ragu membuat pemindahan wang sebanyak RM5,000 ke akaun yang diberikan.
“Sejak itu, suspek kerap meminta wang dengan alasan mempunyai masalah peribadi selain urusan perniagaan.
“Wanita itu melakukan sebanyak 306 transaksi ke dalam 50 akaun bank berjumlah RM2.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Ramli memaklumkan, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada November lalu selepas berkongsi mengenai perkara itu dengan seorang rakan sebelum membuat laporan polis.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata, seorang wanita berusia 57 tahun dari Selangor menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga kerugian hampir RM2.5 juta.
Pekerja swasta itu berkenalan dengan suspek yang mendakwa warga England melalui Facebook pada April lalu.
“Selepas berhubung selama dua minggu, lelaki itu menyatakan hasrat untuk datang ke Malaysia bertemu mangsa.
“Keadaan menjadi rumit apabila mangsa dihubungi oleh pihak kastam yang mendakwa rakannya itu ditahan kerana membawa wang AS$5 juta.
“Mangsa dikehendaki membuat bayaran bagi mendapatkan sijl pengesahan dari beberapa agensi termasuk Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri, kedutaan dan bank bagi membebaskan lelaki tersebut,” katanya.
Mangsa kemudian menuruti semua arahan dan melakukan 13 pemindahan wang ke dalam 13 akaun bank berjumlah RM2.47 juta.
Polis meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik penipuan seperti penggunaan profil palsu, pengakuan cinta awal, permintaan wang atas pelbagai alasan dan keengganan bertemu secara bersemuka.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan individu yang dikenali melalui media sosial dan melaporkan segera aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.-KOSMO! ONLINE.