PUTRAJAYA – Seramai 57 orang pekerja warga Bangladesh membuat tuntutan kes buruh kepada majikan mereka berjumlah RM806,310 susulan kewujudan beberapa isu termasuk kelewatan pembayaran gaji.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam satu kenyataan berkata, tuntutan dibuat pada November lalu turut melibatkan isu seperti bayaran kerja lebih masa dan juga penginapan tidak kondusif.
“Pada September lalu, JTK menerima maklumat secara tidak rasmi daripada pekerja Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd. berhubung isu pembayaran gaji pekerja, bayaran kerja lebih masa dan penginapan tidak kondusif.
“JTK Pelabuhan Klang telah menjalankan siasatan dan mendapati isu yang diketengahkan adalah berasas.
“Pihak pekerja telah dinasihatkan untuk memfailkan tuntutan kes buruh terhadap syarikat,” katanya hari ini.
Kata kenyataan itu, pihaknya turut membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan daripada JTK.
“Pada 14 Disember lalu, satu rundingan melibatkan JTK, wakil Kedutaan Bangladesh dan pihak syarikat telah diadakan, tetapi menemui jalan buntu.
“Pihak syarikat mengemukakan cadangan bayaran gaji tertunggak kepada pekerja secara ansuran sehingga September 2025 dan mendapat bantahan daripada pihak pekerja yang bertegas menuntut agar gaji mereka dibuat tahun ini,” katanya.
Perbincangan lanjut diadakan hari ini berkenaan proses pertukaran dengan majikan baharu yang akan ditentukan kelak di bawah program Pertukaran Majikan Khas (PTM).
Program ini melibatkan seramai 204 orang pekerja asing yang mempunyai permit sah. – KOSMO! ONLINE