fbpx

‘5 penganjur lamar, ada yang langsung tak tahu lagu KRU’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsert Genkru akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei 2025. – MOHD. FIRDAUS. MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert, Icon Entertainment terpaksa menanti selama dua tahun untuk merealisasikan impian menganjurkan konsert kumpulan muzik legenda, KRU.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, dia menghantar mesej pertama kali kepada Datuk Yusry pada 1 November 2022, namun tawarannya ditolak.

“Saya masih simpan mesej dalam aplikasi WhatsApp. Ketika itu Yusry beritahu mereka sudah ‘pencen’. Edry pula sudah menetap di United Kingdom dan Norman sibuk dengan urusan perniagaan.

“Tetapi saya tidak putus asa dan tetap berusaha memujuk mereka bertiga dan akhirnya pada September tahun ini mereka bersetuju untuk menjayakan konsert terbesar mereka yang diberi nama Konsert Genkru yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 3 Mei 2025,” katanya pada sidang media yang berlangsung semalam.

Ditanya kenapa dia tetap berkeras mahukan kumpulan yang popular dengan lagu Awas itu, kata Iman, KRU adalah artis yang ikonik dan dia sendiri merupakan peminat kumpulan yang memulakan debut dalam arena muzik pada tahun 1992 itu.

“Kita tidak mempunyai banyak artis yang ikonik di Malaysia. KRU mempunyai ramai peminat dan lagu-lagu mereka sangat popular. Saya sendiri merupakan peminat mereka sejak remaja. Saya pasti ramai peminat terutamanya dari zaman 90-an rindukan persembahan mereka. Konsert ini bakal menjadi kenangan terindah buat mereka,” jelasnya.

Sementara itu bagi KRU pula, mereka tidak pernah menyangka akan bergabung lagi sebagai satu kumpulan dalam selepas kali terakhir pada tahun 2018 menerusi konsert terakhir mereka di Istana Budaya sebelum mengumumkan mengundurkan diri dari arena muzik tempatan.

“Bila pihak Icon Entertainment bentangkan idea mereka kepada kami, kami agak tertarik dengan perancangan rapi yang mereka lakukan. Jadi kami fikir kenapa tidak kami mengambil peluang ini untuk memberikan kenangan terindah buat peminat-peminat kami.

“Kini kami kembali merasa menjadi ‘artis’. Sebelum ini semua kami uruskan sendiri. Kali ini ada pihak lain yang uruskan semuanya untuk kami. Tugas kami hanya menghiburkan para peminat.

“Tidak dinafikan sebelum ini ada lebih kurang lima penganjur yang cuba melamar. Tetapi tidak semua menepati piawaan. Malah ada yang langsung tidak tahu lagu-lagu KRU,” kata Norman.

Tiket konsert akan mula dijual pada 20 Disember ini bermula dengan harga RM258 sehingga RM588. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI