fbpx

Wabak misteri sebabkan pesakit ‘menari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesakit Dinga Dinga akan menggigil seluruh badan tanpa kawalan sehingga mereka kelihatan seperti menari. - Facebook

KAMPALA – Sejenis penyakit misteri yang menyebabkan pesakit menggigil di luar kawalan merebak di Uganda, menyebabkan doktor-doktor menjadi keliru, lapor portal berita MailOnline semalam.

Penyakit itu disebut oleh penduduk tempatan sebagai Dinga Dinga atau ‘bergoyang seperti menari’.

Beberapa pegawai kesihatan berkata, wabak itu setakat ini menjangkiti kira-kira 300 orang dengan kebanyakan pesakit ialah wanita dan kanak-kanak perempuan.

Penyakit misteri itu disahkan merebak di daerah Bundibugyo. Ia menyebabkan pesakit mengalami demam dan badan menggeletar sehingga menyukarkan mereka untuk berjalan.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Kiyita Christopher memaklumkan kepada media tempatan bahawa tiada kes penyakit itu direkodkan di luar Bundibugyo. Tambahnya, sampel daripada pesakit telah diserahkan kepada kementerian kesihatan untuk dianalisis.

Christopher juga memberi jaminan bahawa tiada kematian dilaporkan akibat penyakit itu  dan ia boleh dirawat menggunakan ubat antibiotik.

“Pesakit biasanya pulih dalam masa seminggu.

“Saya menggesa penduduk tempatan supaya mendapatkan rawatan daripada fasiliti kesihatan di daerah ini,” jelasnya.

Tambah Christopher, penyakit misteri itu pertama kali dilaporkan pada awal 2023 dan ia masih dalam siasatan oleh makmal kesihatan.

Sementara itu, seorang bekas pesakit, Patience Katusiime berkata, badannya bergoyang tanpa dapat dikawal walaupun dia berasa dirinya seperti lumpuh.

“Saya berasa lemah dan lumpuh, dengan badan menggigil tanpa dapat dikawal setiap kali saya cuba berjalan,” katanya.

Katusiime bagaimanapun sudah sembuh selepas mendapatkan rawatan di hospital. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI