fbpx

TT Gratia tawar rumah RM70,000 di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wei Joon (dua dari kanan) bersama Faudzi (tengah) menunjukkan lukisan grafik projek perumahan yang dicadangkan di Machap, Melaka dan dijangka mula dibangunkan pada suku kedua tahun depan.

PEMETERAIAN perjanjian antara syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) dengan Nusa Kapital dan TT Gratia Land Development di Kuala Lumpur, baru-baru ini menyaksikan satu kerjasama unik untuk membolehkan orang ramai melabur dalam projek hartanah berpotensi di Melaka.

Melalui kerjasama tersebut, RTB akan menjadi pemegang amanah bagi dana projek bernilai RM50 juta hasil pelaburan orang ramai ke dalam Nusa Kapital, iaitu penyedia platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) patuh syariah pertama di negara ini.

Kemudian dana RM50 juta itu akan disuntik ke dalam projek perumahan yang akan dibangunkan oleh TT Gratia di Machap, Melaka tidak lama lagi.

Bagi Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon, projek tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada pelabur, malah rakyat di negeri Melaka.

“Kami berhasrat untuk membangunkan projek dengan konsep serupa pada masa depan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini dalam satu majlis yang turut disertai oleh Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din.

KOSMO!: Boleh jelaskan lebih lanjut tentang cadangan projek hartanah di Melaka?

Tan Wei Joon: Ini adalah projek pertama kami di Melaka dan syarikat telah bekerjasama de­ngan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) untuk menyiapkan projek rumah mampu milik sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan negeri untuk memenuhi hasrat setiap rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.

Projek ini terdiri daripada tiga kategori iaitu rumah berharga RM70,000 dan RM120,000 de­ngan keluasan 20 kaki x 65 kaki, masing-masing berjumlah 100 unit. Kami juga akan membina rumah berharga RM180,000 berkeluasan 20 kaki x 70 kaki.

Selain itu, kami juga memiliki projek perumahan lain di Kedah dan Pulau Pinang.

Wei Joon berhasrat memfokuskan kepada pembangunan rumah di Melaka sekiranya berpeluang.

Apa syarat kelayakan untuk membeli rumah ini?

Pastinya ada garis panduan dan kriteria yang akan dikenakan kepada pembeli untuk rumah yang berharga RM70,000, iaitu mereka perlu membuat permohonan di LPM. Selain itu, projek ini adalah untuk orang Melaka sahaja.

Sekiranya permohonan lulus, pihak lembaga akan memaklumkan sama ada pemohon layak membeli rumah berharga RM70,000, atau RM120,000 dan seterusnya.

Bila rumah ini bakal mula ditawarkan di pasaran?

Orang ramai boleh merujuk dalam senarai nama projek perumahan LPM dan membuat permohonan. Namun, memandangkan kami baharu sahaja memeterai perjanjian dengan LPM, projek ini masih belum disenaraikan dalam pangkalan data mereka.

Saya jangka paling awal pembeli boleh membuat tempahan pada suku kedua tahun depan. Pada masa sama, kami berharap mereka yang berminat boleh mendaftar terlebih dahulu de­ngan LPM.

Berapa nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek ini?

GDV keseluruhan projek perumahan kami di Machap adalah lebih daripada RM170 juta, termasuk RM50 juta untuk fasa satu. Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Dengan kos pembinaan yang semakin meningkat, mampukah syarikat menjana keuntungan daripada projek sebegini?

Ya, memang ada keuntungan namun ia bersandarkan kepada volum. Selalunya dalam pelaksanaan projek bernilai tinggi, kami boleh menghasilkan keuntungan lebih cepat, mungkin dalam tempoh setahun sahaja tetapi untuk projek sebegini (rumah mampu milik) mungkin kami hanya akan menghasilkan keuntungan dalam tempoh dua tahun, atau lebih lambat.

Saya bangga dan teruja terhadap projek ini dan berharap dapat meneruskan projek perumahan dengan konsep yang sama pada masa depan. Jika ada peluang, kami mahu memberi tumpuan di ne­geri Melaka, bergantung kepada keluasan tanah yang diperoleh.

Berapa luas bank tanah syarikat dan apa fokus perniagaan syarikat, sama ada pembangunan rumah mampu milik atau rumah mewah?

Bank tanah kami tidak banyak kerana kami selalunya tidak simpan, yang mana kami lebih suka beli tanah dan kemudian terus bangunkan projek.

Kami juga tidak menjual rumah yang mahal kerana sebenarnya kami menjual rumah mengikut kos tanah. Kalau kami membeli di lokasi utama, tentunya kami perlu tawarkan harga rumah mengikut nilai di kawasan tersebut.

Jadi sekiranya kami dapat membeli tanah pada harga yang murah pastinya kami akan membangunkan projek rumah mampu milik untuk kemudahan mereka yang tidak berkemampuan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI