KUALA LUMPUR – TotalEnergies Malaysia memperuntukkan geran lebih EUR5,000 (RM23,000) bagi sebuah sekolah di Sungai Nibong, Pulau Pinang bagi program VIA Safe Mobility tahun ini.
Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia, Jennifer Li berkata, peruntukan tersebut akan dapat menangani isu keselamatan jalan raya yang kritikal di kawasan sekolah mereka dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
“Menerusi kempen yang telah dilaksanakan, sekolah ini berjaya mewakili Malaysia dan mara ke peringkat antarabangsa, setelah muncul juara pada pertandingan di peringkat kebangsaan dan pertandingan serantau.
“Mereka bertemu dengan pasukan dari Angola, Brazil, Lubnan, Madagascar, dan Maghribi bagi membentangkan penyelesaian keselamatan jalan raya yang inovatif. Selain membentangkan usul dan idea mereka kepada rakan sebaya secara global, pembuat dasar, dan pemimpin industri,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Jennifer berkata, program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 itu dengan kerjasama Arus Academy berjaya menarik penyertaan 11,964 murid melalui platform DELiMA Kementerian Pendidikan.
“Mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat adalah penting dan ia harus bermula dengan pendidikan dan pemerkasaan generasi muda.
“Justeru, program seperti VIA ini dianjurkan bagi memupuk budaya penggunaan jalan raya yang selamat di kalangan belia, menerusi sokongan dan sumber yang bersesuaian bagi mendorong mereka melakukan perubahan positif.
“Visi kami adalah untuk membina masa depan di mana jalan raya kita lebih selamat untuk kegunaan semua,”katanya.-KOSMO! ONLINE