SHAH ALAM – Selangor bakal menyumbang RM500, 000 kepada Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Tabung Selangor Prihatin dalam membantu infrastruktur dan sokongan keperluan di negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.
“Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sokongan kepada kerajaan Kelantan selepas diputuskan MMKN terakhir tahun ini pada 18 Disember ini (Rabu),” katanya selepas majlis pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani ke Kelantan di Dataran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.
Menurut beliau, pelepasan skuad tersebut melibatkan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan selain 45 jentera antaranya lori tangki dan lori tong sampah pukal (RORO) yang akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan bermula esok sehingga Khamis ini.
Ujarnya, skuad yang turut disertai syarikat kutipan sampah negeri KDEB Waste Management (KDEBWM) menumpukan pembersihan infrastruktur awam yang terkesan selain rumah penduduk yang terjejas terus.
“Misi ini merupakan manifestasi dan keprihatinan negeri tanpa mengira penduduk dan lokasi. Pasukan akan bantu kerja pembersihan di kawasan kritikal dan kita utamakan kemudahan awam seperti masjid, surau atas nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Selain bantuan tenaga, kita turut menyediakan bakul makanan serta bahan pencuci untuk disalur kepada mangsa daripada Yayasan MBI. Anggaran kos untuk misi ini mencecah RM400,000 yang disumbang pelbagai pihak antaranya KDEBWM dan PBT,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan
(KDEBWM), Datuk Ramli Mohd. Tahir menjelaskan pihaknya menjangkakan sebanyak 25 trip penghantaran setiap hari bagi sampah pasca banjir ke tapak pelupusan sampah khususnya di Tumpat, Kelantan.
“Ini merupakan kali ketiga kita melakukan hal sebegini dengan sebelum ini di Kuala Krai, Kelantan dan Segamat, Johor.
“Kita akan ikuti arahan daripada Unit Pengurusan Bencana Selangor. Kalau ada aset atau keperluan yang diperlukan lagi, kita akan hantar esok atau lusa,” katanya. – KOSMO! ONLINE