KUALA TERENGGANU – Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu baru-baru ini bakal dilaksanakan pada 27 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, itu juga kekal dilangsung selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.
Beliau berkata, panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu sebulat suara bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa permohonan semakan dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
“Hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dikekalkan,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! 21 November lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memerintahkan Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga duda anak lima dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.
Hukuman sebatan tersebut pertama kali akan dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai di Terengganu kerana sebelum ini ia dilakukan secara tertutup.
Begitupun hukuman yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember lalu terpaksa ditangguhkan sementara ekoran semakan pelaksanaan hukuman yang dipohon terhadap Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu beberapa hari sebelum itu. – KOSMO! ONLINE