KYIV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan kelmarin bahawa Russia telah mula mengerahkan tentera Korea Utara untuk menggempur kedudukan askar-askar Kyiv di wilayah Kursk milik Moscow.
“Hari ini (kelmarin), kami mempunyai data awal bahawa Russia telah mula mengerahkan askar-askar Korea Utara dalam serangan mereka. Ia melibatkan jumlah yang besar.
“Russia meletakkan mereka (askar Korea Utara) dalam unit gabungan dan mengerahkannya untuk operasi di wilayah Kursk,” kata Zelenskyy dalam ucapan pada waktu malam.
Tambah beliau, walaupun setakat ini askar-askar itu hanya ditempatkan di Kursk, mereka mungkin turut dihantar ke bahagian lain di barisan hadapan.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menuduh Pyongyang menghantar lebih 10,000 askar untuk membantu Moscow selepas Russia dan Korea Utara menandatangani pakatan pertahanan penting pada musim panas lalu.
Kedua-dua negara sekutu yang merupakan musuh AS itu, telah saling mengukuhkan hubungan ketenteraan sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Zelenskyy berkata pada bulan lalu bahawa seramai 11,000 askar Korea Utara telah dikerahkan ke wilayah Kursk, barat Russia, manakala beberapa kematian dan kecederaan dilaporkan.
Terkejut dengan pencerobohan askar Ukraine di Kursk, Russia berusaha menghentikan kemaraan tentera Kyiv dan mempercepatkan bantuan ke wilayah miliknya itu.
Sumber tentera Ukraine memberitahu AFP pada bulan lalu bahawa Kyiv masih menguasai 800 kilometer persegi wilayah Kursk, berkurangan daripada dakwaan sebelum ini bahawa ia menguasai hampir 1,400 kilometer persegi. – AFP