LOS ANGELES – Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun di negeri New Mexico, Amerika Syarikat ditahan semalam berhubung pembunuhan 4 anggota keluarganya, kata polis dan beberapa pegawai.
Sherif County Valencia menerima panggilan kecemasan sebelum subuh kelmarin daripada seorang budak lelaki yang mengaku membunuh anggota keluarganya, kata polis New Mexico dalam satu kenyataan.
Apabila anggota-anggota polis tiba di kediaman tersebut di bandar Belen, suspek berumur 16 tahun itu berjalan keluar dari kediamannya dan kelihatan sangat ‘lalok’, tambah kenyataan sama.
“Polis memasuki kediaman dan menemui Leonardo Leyva, 42, Adriana Bencomo, 35, Adrian Leyva, 16, and Alexander Leyva, 14, dengan semua mereka meninggal dunia akibat kecederaan terkena tembakan. Sepucuk pistol ditemui di atas meja dapur,” kata polis.
Seorang pegawai Belen memberitahu bahawa semua mangsa itu adalah ibu bapa dan adik-beradik suspek.
“Remaja itu didakwa kerana membunuh dengan niat,” kata seorang pegawai polis.
Amerika Syarikat mencatatkan sekurang-kurangnya 484 kes tembakan beramai-ramai atau massa pada tahun ini. Ia melibatkan kejadian tembakan membabitkan sekurang-kurangnya empat mangsa sama ada terbunuh atau cedera. – AFP