GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah berjumlah hampir RM3 juta susulan penahanan enam rakan sejenayah termasuk dua wanita dalam serbuan berasingan di negeri ini dan Butterworth, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya telah melancarkan operasi serentak di dua lokasi berkenaan antara pukul 9 pagi hingga 10 malam, bermula 6 Disember lalu.
“Hasil serbuan telah berjaya menangkap empat lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 42 tahun yang dipercayai menjalankan pengedaran pelbagai jenis dadah.
“Kesemua mereka ditahan di rumah yang disewa di lokasi berasingan dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan terutama di pusat-pusat hiburan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan ini, pihak polis telah berjaya merampas dadah antaranya 106 paket plastik lutsinar disyaki dadah ketamin seberat 9.82 kilogram (kg) dan aluminium foil warna merah dan perak berisi pil 17,050 biji disyaki dadah erimin 5 seberat 4.49 kg.
“Turut dirampas 65 paket dadah jenis ectasy seberat 1.50 kg, enam paket plastik lutsinar berisi disyaki dadah mdma anggaran berat 250.64 gram
“Selain itu polis turut merampas satu paket plastik lutsinar di dalamnya berisi cerai dedaun kering disyaki dadah ganja seberat 3.20 gram,” katanya.
Tambahnya, susulan daripada operasi pada 6 Disember itu, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah kondominium di kawasan Sungai Nibong, pada 13 Disember lalu.
“Rumah ini dipercayai disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dadah sindiket berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya enam kotak berisi 221 ikatan yang mengandungi 5,525 keping foil aluminium berwarna merah dan perak yang berisi 55,250 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 anggaran berat 15.60 kilokggram.
”Turut dirampas ialah 15 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin anggaran berat 382 gram dan satu peket plastik lutsinar berisi 50 biji pil disyaki pil ecstasy anggaran berat 21.05 gram,”katanya. – KOSMO! ONLINE